ANALISIS MAQASID JUZ’IYYAH TERHADAP AL-MUHARRAMAT DALAM AL-QURAN DAN HADIS
Keywords:
Al-Muḥarramāt min al-Nisā’;, Maqāṣid Juz’iyyah;, Penghormatan;, FitrahAbstract
Perkahwinan merupakan pembentukan suatu institusi yang disyariatkan oleh Allah SWT bagi menjamin kelangsungan hidup manusia serta kesejahteraan sosial. Melalui perkahwinan, hubungan yang halal antara seorang lelaki dan seorang wanita dapat disalurkan selaras dengan ketetapan hukum Islam. Walau bagaimanapun, Islam menetapkan bahawa terdapat kategori wanita tertentu yang dikenali sebagai al-muḥarramāt min al-nisā’, yang diharamkan daripada berkahwin sama ada secara kekal atau sementara. Pengharaman ini berasaskan hikmah serta tujuan tertentu dalam syariah Islam. Kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti dan mengklasifikasikan golongan wanita yang diharamkan berkahwin berdasarkan dalil daripada al-Qur’an dan Hadis, di samping menganalisis maqāṣid al-sharī‘ah, khususnya maqāṣid juz’iyyah, yang mendasari ketetapan hukum tersebut. Kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif berbentuk kajian kepustakaan dengan kaedah analisis kandungan secara deskriptif, dengan data diperoleh daripada karya-karya klasik dan kontemporari berkaitan maqāṣid al-sharī‘ah serta undang-undang kekeluargaan Islam. Dapatan kajian menunjukkan bahawa pengharaman tersebut bertujuan memelihara maruah wanita, menjaga keturunan, mencegah kemudaratan terhadap zuriat, serta mengekalkan keharmonian hubungan kekeluargaan. Bagi pengharaman yang bersifat sementara, maqāṣid juz’iyyah yang dikenal pasti termasuklah perlindungan hak perkahwinan, pencegahan konflik, dan penghindaran percampuran nasab. Kajian ini menegaskan kepentingan kefahaman hukum yang tepat sebelum perkahwinan dilangsungkan bagi memastikan pematuhan terhadap syariah Islam.